Mahathir Sebagai Sebuah Penyakit (2)

Masih lagi saya mahu bicara dalam lingkup - ruang, buku Menghadapi Cabaran karya Dr Mahathir walaupun sebenarnya saya agak keletihan juga memualkan membacanya -- terbayang akan laporan media yang meraih sentimen semasa juga corak fikir yang selama ini dihunjamkan dikepala kita.
Selaras dengan arus anti- Amerika dan dunia Barat yang meluap-luap kebelakangan ini khususnya dalam isu Lubnan juga Palestin, akibat kekejaman Israel. Kali ini saya cuba singkap pendekatan Mahathir menyalurkan sentimen kemarahan rakyat pada Barat yang sering dibayangkan kacau dan huru-hara kehidupan batin dan fizikalnya untuk menutup ruang demokrasi dan kebebasan.
Sekaligus ianya menjadi tangkal untuk Mahahthir membuat apa jua tindakan dengan alasan menyelamatkan diri, bangsa dan agama dari pengaruh asing. Justeru menghalalkan tindakan tahan tanpa bicara, penutupan media, melecehkan pembentukan masyarakat sivil dan juga pelbagaikan akta yang drakonian seperti Auku, OSA juga Ordinan Darurat.
Demokrasi dan kebebasan, dua perkataan ini telah teracun teruk di Malaysia. Terutama dizaman pemerintahan Mahahthir dan penyakit itu terus membarah sekarang. Acap kali dikatakan demokrasi ini adalah ciptaan akal Barat yang tidak sebati dengan nilai Timur, manakala kebebasan (yang sering dilekatkan 'mutlak' dibelakang frasa ini) akan menyebabkan individu menjadi buas, keluarga berantakan atau -- gemar disebut Mahahthir dalam buku ini sebagai anarki dan akhirnya masyarakat juga negara hilang, dijajah.
Inilah peluru akhir Dr Mahahthir untuk mengaut kesetian warga kepadanya semasa memerintah. Cuba kita ingatkan seputar gemburan hubungan tegang Malaysia-Singapura 1998, masa Anwar baru disingkir, saya waktu itu di Johor Bahru, terasa juga kepanasanya dan ketakutanya. Jelas mahathir telah menggunakannya kali ini dalam isu perangnya terhadapa kepimpinan Abdullah Badawi lihat isu jambatan bengkok yang berulangkali disebutkanya terutama dalam ucapanya di Taman Melawati.
Selain dari aspek kedaulatan Mahahthir menggunakan alasan kebudayaan seperti budaya rambut panjang (artikel 3 -- Barat & Timur). Beliau mengambil contoh budaya berambut panjang yang dikatakan beliau berasal dari Barat, tidak padan dengan budaya tempatan. Budaya berambut panjang, jeans koyak dan berpakaian ala kadar (pada ketika itu budaya rock sedang menebar diseluruh dunia) adalah ciptaan Barat untuk "refresh" dari kehilangan tanah jajahan perang dunia ke-2 dan kekalahan Amerika di Vietnam.
Beliau melihat kita tak perlu meniru gaya tersebut kerana kita tak melalui peristiwa seperti Barat, malah jika kita ikuti ianya akan merosakkan dan tidak berguna hinggalah beliau berleter soal demokrasi, gerakan buruh dan sebagai aparat licik Barat menipu kita di Timur, agar kita terus miskin dan tertinggal (artikel 3 - Barat & Timur) . Wow !
Ternyata, Mahathir telah memerangkap imaginasi masyarakat yang sedia menyampah dengan Barat (terutama British dan Amerika, apatah lagi angin nasionalisme cukup kuat ketika itu) untuk menutup pintu kebebasan yang terdapat dalam sebahagian sistem politik Barat-- Demokrasi. Lalu munculah nilai asia yang dijadikan alasan olehnya untuk terus mengamalkan pemerintahan yang korup dan menindas.
Alasan dan dinamik hujah Mahathir ini sebenarnya telah menyebabkan kita jauh ketinggalan dibelakang terutama dalam bidang kreatif mahupun bidang ilmu pengetahuan teknologi. Kebencian dan prejudis terhadap Barat, percaya kepada konspirasi yahudi seperti menutupi kehidupan kita di bawah tempurung kaca, boleh melihat jangan dicuba, kerana ada sang dewa di situ menegah kamu.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home