Thursday, October 12, 2006

Sekali lagi amaran dari Najib

Semalam sekali lagi Najib Tun Razak, menyatakan amarannya agar jangan membincang perkara sensitif. Ditambah lagi agar jangan mempertikai data rasmi yang telah dikeluarkan oleh kerajaan lalu dia juga menokok, sebarang kajian berkenaan perkara sensitif jangan sewenang-wenang hati diumumkan. Mahu tanya juga apa perkara sensitif itu, sebenarnya

Najib memberi maklumbalas kepada kontroversi dari laporan kajian yang dibuat sebuah badan think tank ASLI. Penegasan pengarahnya, Dr Lim Teck Ghee terhadap kajian beliau setelah Mirzan, pengerusi ASLI menyembah maaf telah memanjangkan lagi isu ini. Sebagai bantahan Lim meletakkan jawatan. Minggu lalu anak Tun Razak ini juga telah memberi amaran yang lebih kurang sama dalam dakwaan skandal penyelewengan peruntukan sekolah jenis kebangsaan di Johor.

Sekarang isu ini tidak lagi berkisar kepada angka-angka yang menjadi pertikaian -- Melayu telah menguasai 45% ekuiti lebih banyak dari angka rasmi kerajaan 18%, ianya juga telah melepasi sasaran 30% ekuiti bumiputera seperti yang disasrkan DEB. Bukan lagi kepada silap bingkai laporan ASLI itu, atau methodnya yang khilaf.

Jelas terpancar ialah pendirian bahawa kerajaan sahaja berhak untuk berbicara di Malaysia ini. Ini juga isu kebebasan media. Teringat pada seorang kawan saya dahulu, bila saya ajukan tentang kewajaran kebebasan media dia bimbang akan berlaku pergaduhan kerana akan ditulis diakhbar orang India pengotor, katanya, dia juga bimbang ada perempuan bogel.

Najib dan ahli-ahli pemikiran glokalnya (termasuk teman saya), jika ada kebebasan media ada, semua itu sudah tidak dilayan, porno, gesaan perkauman juga alasan cetek macam yang kamu katakan itu akan dilanyak dan dihakimi oleh awam.

Adduh....Bila lagi nak bersunat orang macam Najib dan ahli-ahlinya nie. Ataupun mereka sebenarnya tidak ada keyakinan, bertarung diruang awam.

Wednesday, October 11, 2006

Jerebu Perkauman

Minggu-minggu kebelakangan, bersama suasana menjelang Aidilfitri ini kita diasak-asak dengan isu perkauman. Ianya nampak terus berlarutan dan berpanjangan kerana tidak pernah cuba benar-benar diselesaikan. Semua tindakan atas segala isu yang berbangkit hanyalah untuk menutup isu, mengalihkanya ataupun amaran tegas pemimpin supaya jangan bincang-bincang lagi, isu 'sensitif' tersebut.

Sebutkan dari dahulu sehingga kini, isu Timbalan Perdana Menteri ke-2, IFC, artikel 11, penyelewengan peruntukan untuk sekolah tamil, SRJK (C) Damansara, kritikan Lee Kuan Yew dan yang terbaru laporan ASLI tidak lupa sebelum itu ucapan Khairy Jamaludin yang mengundang amarah rakan kongsi Barisan Nasional (BN).

kekerapan timbulnya isu perkauman ini, menunjukkan ianya tidak pernah diselesaikan, baik melalui perundingan pemimpin, perbincangan terbuka mahupun kajian yang jujur dan telus. Rakaman sejarah negara tidak pernah membuktikan ianya diselesaikan.

Kalau sudah diselesaikan umpamanya dalam hal perlembagaan sewaktu pembutanya, ianya masih boleh dibincangkan, ia adalah dokumen yang hidup, tidak mati dan statik.

Tapi yang kerap kita dengar bila isu kaum menjadi berita dan bualan ialah gesaan menutup perbincangan, gertakkan ISA dan juga acara bersalaman untuk membuktikan masalah telah diselesaikan. Semuanya hanya umpama matahari yang dilitup oleh jerebu, bahang dan panasnya masih berkekalan.