Wednesday, October 11, 2006

Jerebu Perkauman

Minggu-minggu kebelakangan, bersama suasana menjelang Aidilfitri ini kita diasak-asak dengan isu perkauman. Ianya nampak terus berlarutan dan berpanjangan kerana tidak pernah cuba benar-benar diselesaikan. Semua tindakan atas segala isu yang berbangkit hanyalah untuk menutup isu, mengalihkanya ataupun amaran tegas pemimpin supaya jangan bincang-bincang lagi, isu 'sensitif' tersebut.

Sebutkan dari dahulu sehingga kini, isu Timbalan Perdana Menteri ke-2, IFC, artikel 11, penyelewengan peruntukan untuk sekolah tamil, SRJK (C) Damansara, kritikan Lee Kuan Yew dan yang terbaru laporan ASLI tidak lupa sebelum itu ucapan Khairy Jamaludin yang mengundang amarah rakan kongsi Barisan Nasional (BN).

kekerapan timbulnya isu perkauman ini, menunjukkan ianya tidak pernah diselesaikan, baik melalui perundingan pemimpin, perbincangan terbuka mahupun kajian yang jujur dan telus. Rakaman sejarah negara tidak pernah membuktikan ianya diselesaikan.

Kalau sudah diselesaikan umpamanya dalam hal perlembagaan sewaktu pembutanya, ianya masih boleh dibincangkan, ia adalah dokumen yang hidup, tidak mati dan statik.

Tapi yang kerap kita dengar bila isu kaum menjadi berita dan bualan ialah gesaan menutup perbincangan, gertakkan ISA dan juga acara bersalaman untuk membuktikan masalah telah diselesaikan. Semuanya hanya umpama matahari yang dilitup oleh jerebu, bahang dan panasnya masih berkekalan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home