Sunday, July 16, 2006

Mahathir sebagai sebuah penyakit 1



Sepanjang 22 tahun Malaysia, sejak dibawah pemerintahan Mahathir mengalami sebuah penyakit yang yang kronik dan menebar dengan cepat dan pantas. Penyakit ini telah menjadi epidemik saya panggil sebagai penyakit Mahahthir.

Sindrom atau tanda-tanda penyakit ini adalah prejudis. Mahahthir sebutkan dalam ucapanya di Melawati sebagai suspicious mind -- minda curiga. Prejudis ini sebenarnya hasil dari sifat tidak yakin dirinya. Sebab itu kempen Mahahthir sentiasa menuju kepada kebencian. Kebencian terhadap kritik, kebencian terhadap kaum lain, kebencian kepada barat hinggalah kebencian kepada yahudi.

Kalau dalam negara diterjemah kepada undang-undang drakonianya, OSA, ISA, Auku, Akta Mesin Cetak dan akta-akta warisan British yang cukup menakutkan pengkritik, Ngo mahupun penyokong beliau.

Membaca buku beliau Menghadapi Cabaran sedikit sebanyak menceritakan virus-virus pemikiran yang beliau serapkan sepanjang pemerintahnya. Di sini saya sebutkan satu virusnya iaitu anti-polemik. Dalam pendahuluan bukunya yang terbit tahun 1976 itu beliau awal-awal lagi memberi amaran kepada pembaca supaya jangan mencari kesalahan dalam bukunya, kerana katanya ia pasti dapat dikesan jika dicari.

Lihatlah corak politik beliau, mana pernah mengaku salah dan tidak tahu. Amat ekstrem pula dibandingkan dengan Abdulah Badawi, kerana Perdana Menteri kita ini seperti semuanya dia tak tahu.

Dalam tulisan tentang polemik, beliau mengatakan orang melayu telah tepu dengan polemik sehingga tiada tindakan, dia keliru nampaknya antara polemik dan khabar angin dan menanamkan perkara palsu itu sehingga sekarang majoriti kita amat benci dengan pertentangan pendapat. Ataupun dia sebenarnya keliru antara orang melayu dengan India -- kalau kita lihat Arguementative Indian, tulisan Amartya Sen, orang India ada tradisi berargumen. Mereka bangga denganya dan sekarang lihatlah pada India, apakah kita mampu mengharung keluasan pengaruh India.

Penyakit Mahahthir ini, bukan lagi masalah personal ini masalah bangsa kita, bangsa Malaysia. Justeru kalau ada kalangan kita melihat Mahathir sebagai penyelamat dan penyelesaian masalah kelelehan Abdulah, nampaknya kita balik semula kebelakang, melepaskan kembali serigala yang telah dihambat.

Wednesday, July 12, 2006

Mahathir akan selamatkan Kelantan ? - 1


Pas telah berada pada tahap sesak. Imej ulama` dan tawaduk pimpinannya telah mula tidak dilayan oleh sebahagian rakyat Kelantan. Mereka perlu imej baru, ataupun mungkin menampilkan wajah mereka sebetulnya. Selama ini Pas beretorik dalam ceramah dan media -- Pas sebagai jemaah yang ingin membela Islam, bukan hanya parti mahukan kepentingan politik yang boleh dialihkan kepada undi dan kuasa, telah menyebabkan ramai keliru. Bukan hanya pengundi malahan ahli-ahli dan pimpinan mereka juga terkeliru dengan propaganda mereka sendiri.

Dalam hal ini Pas lebih kurang dengan Umno yang mengelarkan diri pembela bangsa melayu, juga selalu menggunakanya untuk kepentingan politik dan menutup tingkah tidak bertamadun yang diamalkan. Kalau direnung jauh sedikit memang tiada beza, kerana melayu dan Islam sering bergandingan dalam faham rakyat Malaysia. Ternyata Pas dan Umno mengukuhkan elemen pemahaman ini menjadikan mereka berkongsi penyokong.

Tampilan wajah mereka kali ini akan menyedarkan ramai pihak khususnya yang muda-muda dan baru mengenal politik -- bahawa Pas memang parti politik betulan. Bagi yang telah berumur pasti telah di ingatkan melalui detik sejarah bagaimana Pas masuk perikatan, berkerjasama dengan Ku Li, Anwar yang dicemuhnya dahulu dan Mahathir sekarang. Dengan ini juga Pas telah boleh dinilai melalui kacamata politik. Bukan lagi kacamata fanatik melayu-Islam yang sering menyelamatkan mereka dengan serban dan jubahnya.

Khabarnya Nik Aziz telah memberi restu kepada Husam untuk mengorganisir kedatang Mahathir ke Kelantan. Ada analisa, inilah langkah kerajaan Pas untuk menyelamatkan kerajaan negeri Kelantan yang telah mencapai paras hidung untuk bernafas. Dan jemputan pada Mahathir ini adalah untuk memulihkan imej mereka dengan harapan Mahathir akan menguris pada imej Islam Hadahri, Abdulah Ahmad Badawidan keseluruhan kabinetnya. Mungkin juga boleh menjemput saudagar-saudagar kaya kroni Mahathir untuk melabur di Kelantan.

Pas memang telah terdesak, memang perlukan perubahan, tapi Mahathir bukan jawapanya. Track record dan kepimpinanya telah terbukti selama ini. Mungkin cara mahathir cocok dengan Pas tapi bukan untuk tarik lebih banyak undi masuk pada mereka. Mahathir juga akan merencatkan lagi usaha mencambahkan demokrasi dinegara ini. Lihatlah buku Menghadapi Cabaran, tulisan Mahathir, dia cukup konsisten dengan pandanganya selama ini dan telah menyebabkan Malaysia tersungkur dari semua segi, sukan, ekonomi, bijaksana dan pembangunan. Saya akan ulas buku ini satu persatu nanti.

Dengan keadaan ini apakah Mahathir mampu berikan harapan lagi, atau sememangnya Pas telah bangkrap nilai dan idea.

Sunday, July 09, 2006

Itali Akhir Juara

Italy akhirnya mencapai kejayaan tertinggi bola sepak dunia. Totti akan tersenyum dengan persaraanya., Zidane mungkin menangis dan tidak mahu perlawanan awal pagi tadi disebut-sebut lagi. Amarahnya memuncak dari pendamanya sebelum ini.

Apa pun sejarah berulang lagi, kalau Pak Rostom menilai mengikut horoskop cina, saya hanya mengulang beberapa "andaian gurauan", tahun 82 Itali menang kerana dunia bola sepaknya di bayangi rasuah, maka tahun 2006 Itali akan menang kerana skandal yang begitu besar melanda bola sepak Itali. Beberapa pasukan ternama, Juventas, AC Milan dan Fieorantina terancam.

Kalau lah rasuah lah faktornya, emm dah lama Malaysia dan Indonesia jadi juara. Hati ini mahu juga Malaysia layak ke Piala Dunia. Satu sahaja caranya jadi tuan rumah. Macam Pas jadi tuan rumah orang lain (Anwar, Ku Li, Mahathir) untuk dapat pengiktirafan. Opps masuk lagi bab politik.

Wednesday, July 05, 2006

Pas Bukan Parti Reform

Pas tidak akan berubah, singkapan penuh yakin dari Fathi Aris Omar melalui blognya (patahbalek) beberapa hari sebelum muktamar parti Islam itu buat kali ke 51 di Kota Sarang Semut, Kedah Darul Aman.

Ketegangan Abdullah - Mahathir menampakkan taring dan kuku tajam mereka. membuka niat dan cara politik mereka, Fathi betul rupanya Pas tidak akan dan mahu berubah.

Pas telah mendapat laba paling lumayan setiap kali berlaku krisis dalam Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, krisis 1987, krisis 1998 mereka memperolehi undi yang banyak setiap kali pilihan raya umum selepas krisis dalaman Umno.

Pas sememangnya tempat mengadu bagi orang yang gagal dalam Umno, atau mahu bertaubat atas dosa yang pernah lakukan, lalu berkopiahlah dan takbir. Itu sahajalah yang mereka dapat, Bagi mengubah keadaan Malaysia kepada lebih baik dalam soal hak rakyat dan demokrasi, nampak samar -- mereka cuma jualkanya dalam waktu mereka kalah. Selepas menang tiada satu pun yang jelas Pas lakukan.

Kini mereka menghidu lagi Umno akan berantakan lalu menghantar "jeneral" atasan mereka menghadiri pertemuan Dr Mahathir yang pernah dilabel mereka sebagai mahafiraun, thogut dan cercaan yang menghinakan.

Mungkin mereka akan katakan kepada penyokong atau sekutu mereka, Parti Keadilan Rakyat, ini adalah strategi. Pas tidak mahu bekerjasama dengan Mahathir sebaliknya hanya mahu mendengar dan menggunakan buah peluru Mahathir untuk menyerang BN dan Umno yang nampak kewalahan. Peliknya jika tidak mahu bekerjasama mengapa wujud khabar mahu pula membantu Dr Mahahthir meneruskan raod show di Kelantan.

Pas tidak mahukan perubahan dinegara ini, reformasi yang disertainya suatu masa dahulu bukan untuk mengubah nilai politik kaum dan ekslusif agama yang menyebal dinegara ini. Sebaliknya itulah lubang paling kuat untuk mendapat undi pilihanraya. Nah 2004 mereka terlalu yakin, keadilan dipinggir dalam pembahagian kerusi lalu tanpa perbincangan kemuka dokumen negara Islam, dan kalah.

Kali ini mereka percaya gentelan Mahathir kepada Abdullah akan membangkit sentimen rakyat, menyokong Mahathir bermakna Pas telah tersangkut sindrom suka kepaa tekanan. Mahu terus terpenjara dan Mahathir adalah seorang Perdana Menteri yang betul kerana dia berkuasa penuh. Abdulah Badawi bukan demokrat dan tetap mewarisi sistem Mahathir, cuma mungkin dia lemah dan tidak berhati waja. Dua sahaja pesan saya kepada Pas

1. Takut-takut nanti, apa yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran, dengar guruh berbunyi air setempayan di buang.

2. Sudah masanya Pas percaya dengan modalnya sendiri, dengan tingkah begini ternyata mereka sentiasa menumpang orang, dulu Ku Li, Anwar kemudian kini Mahathir. Haji Hadi apakah politik Islam ini hanya strategi dan menungang orang.